hiking

Hiking Cherok Tokkun

1/30/2019 12:58:00 PM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Bulan Januari merupakan bulan paling aktif untuk Eyda buat masa sekarang.

Banyak betul aktiviti yang Eyda atur dan lakukan untuk mengisi masa yang terluang. Bukan apa selain menggembirakan anak-anak perlu juga amalkan gaya hidup sihat.

Selepas saja bercuti dengan anak-anak. Eyda ikut rancangan kawan Eyda untuk hiking ke Cherok Tokkun pada cuti Thaipusam yang lalu.

Kalau ikutkan nak ke Taman Negara Pulau Pinang ke Pantai Kerachut, tapi memandangkan Thaipusam akan ada jalan yang ditutup dan akan ada kesesakan jalan pada hari tersebut. Makanya, Eyda hanya memilih untuk ke Cherok Tokkun saja.

Semua yang turut sama pagi tu

Kami memulakan sesi regangan badan sekitar jam 7.45 pagi dan memulakan hiking sekitar jam 7.55 pagi.

Memulakan hiking
Kami melalui trek tanglong, Eyda biasa turun ikut laluan nih. Kali ini naik ikut laluan ni memang mencabar stamina sikit.

Masing-masing masih ceria ketika ini


Ceria kan

Alhamdulillah sekitar jam 10.00 pagi kami dah sampai ke kawasan gym atau tempat rehat di kawasan Cherok Tokkun.

Ketika berada di jalan tar nih banyak rakan yang hiking bersama berpecah, ada yang terus turun ke bawah selepas berehat di kawasan rehat sekitar gym dan ada yang sambung jogging dan selebihnya meneruskan hiking ke laluan hutan untuk turun semula ke bawah.


Kami yang sekitar 9 orang lagi meneruskan perjalanan sehingga ke pelantar pemandangan tanpa berhenti di tempat rehat di kawasan gym.
 
Masing-masing sedikit letih ketika ini

Setelah berehat, makan bekalan makanan yang dibawa serta minum, kami meneruskan perjalanan untuk turun mengikut jalan hutan.


Melalui jalan ini kami dapat menikmati keindahan Empangan Mengkuang yang cantik. Maaf Eyda kurang mengambil gambar memandangkan bateri telefon agak kurang di hari tersebut. Eyda hanya fokus nak rekod perjalanan hiking kami pada hari tersebut sahaja.



Kami meneruskan perjalanan lagi untuk turun selepas puas menikmati keindahan Empangan Mengkuang.

Laju ja turun bukit
Masa nak ke pemandangan yang menampakkan Empangan Mengkuang, banyak laluan turun yang mempercepatkan langkah kami untuk turun.

Segar mata memandang

Ketika menuruni bukit, kami dapati banyak pokok tumbang dan abang Art selaku ketua penunjuk arah pun akui banyak laluan berubah dalam perjalanan kami.


Berposing
Banyak pokok yang tumbang, sempat jugak kami berposing kat pokok-pokok yang tumbang tu. Rasanya lebih kurang atau lebih 20 pokok yang tumbang sepanjang laluan kami turun tu.

Ceria sebab nak dah turun

Kami berhenti rehat berhampiran empangan lama dan mengambil gambar.  Bab posing tak kalah ya walaupun menumpang telefon orang ja. 



Setelah meneruskan perjalanan, kami berhenti berehat di air terjun nih yang ada sekitar laluan kami. Kami berehat di sini sambil menikmati keindahan alam sebelum meneruskan lagi perjalanan.


Rehat santai namanya nih, sambil ada yang ambil peluang untuk rendamkan kaki seketika. Eyda hanya duduk main air sambil renggangkan kaki.

 
Perjalanan yang diteruskan tersangkut pada satu lokasi, banyak pokok tumbang telah menyebabkan laluan yang sepatutnya kami lalui tertutup sepenuhnya.

Hasil perbincangan antara ingin menggunakan laluan 800 atau berpatah balik. Majoriti sepakat untuk berpatah balik saja memandangkan masing-masing tak tau bagaimana keadaan laluan 800.

Ini berikutan masing-masing takut terpaksa menghabiskan lagi masa untuk berpatah balik jika tidak dapat melalui laluan 800.

Di ketika ini, masing-masing dah agak keletihan memandangkan jam telah menunjukkan jam 12.00 tengahari. Semua dah mula letih dan kelaparan.

Langkah makin perlahan, tapi masing-masing bergelut untuk cepat sampai ke laluan jalan tar semula.

Eyda pun dah rasa tahap seret kaki ketika ini. Bayangkan perjalanan yang sepatutnya lagi sejam terpaksa ditambah ke 2 jam untuk kembali ke jalan tar. Mental memang kena kuat ketika itu.

Eyda sampai ke jalan tar sekitar jam 2.10 petang. Fuhh agak lega dah jumpa jalan tar. Kami berjalan sehingga ke tempat rehat sekitar gym untuk tambah air minuman masing-masing. Nampak sangat masing-masing dah terlalu letih.

Eyda berjalan turun perlahan-lahan memandangkan lutut Eyda mula berasa sakit. Menggunakan jalan tar dan jalan hutan banyak bezanya. Eyda sampai di kereta sekitar jam 3.35 petang.


Inilah catatan masa yang Runkeeper rekodkan sepanjang perjalanan hiking kami pada hari tersebut. Kalau tengok jarak yang direkodkan boleh berlari 21km atau Half Marathon dah tu.

Bayangkan selama 7 jam kami hiking pada hari tersebut. Hari yang paling panjang dalam sejarah Eyda hiking. Tak sangka ini kali pertama Eyda sakit lutut kerana hiking. Padahal ini kali ke-4 Eyda hiking Cherok Tokkun tu.

Apapun ianya satu pengalaman indah buat Eyda. Serik? In shaa Allah tak, cumanya untuk hiking yang seterusnya Eyda kena pastikan lutut Eyda betul-betul baik. Risau pula sakit tu kembali lagi.


Nota Kaki : Jangan risau laluan yang terputus tu dah dapat dilalui semula dengan bantuan abang Art dan kawan-kawan yang masuk semula untuk membuka laluan tersebut. Lepas nih bolehlah ulang kembali laluan ini.

Laluan trek 800 pun sebenarnya boleh lalu juga, hasil info dari pendaki yang lain ketika kami hampir sampai ke Empangan Mengkuang ketika berpatah balik hari tersebut.


hiking

Hiking Bukit Kukus dan Bukit Jambul, Pulau Pinang

2/09/2018 04:50:00 PM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Alhamdulillah keinginan nak hiking pada tahun lepas berjaya direalisasikan.

Pada 23 Disember 2017 yang lalu sehari sebelum larian OBS Run 2017, Eyda bersama rakan pejabat dan tidak ketinggalan anak-anak juga sertai aktiviti hiking ke Bukit Kukus dan Bukit Jambul, Pulau Pinang.



Jika ada yang mendengar macam jauh saja lokasi antara keduanya. Tetapi ianya terletak bersebelahan antara satu sama lain. Jadinya anda boleh mendaki kedua-duanya sekaligus.


BUKIT KUKUS, PULAU PINANG

Seronok Eyda bila dengar ada aktiviti hiking. Yelah, dah lama sangat Eyda nak join tapi ada saja halangan yang mendatang. 

Ingatkan hanya Eyda bersama rakan pejabat yang akan mendaki, rupanya anak-anak juga ingin turut serta untuk mendaki bersama.

Sebelum itu memang Eyda terangkan bahawa aktiviti mendaki ni dua kali ganda letih dan teruk berbanding aktiviti larian yang pernah mereka sertai.

Terkejut juga Eyda bila mana anak-anak begitu teruja nak sertai aktiviti mendaki tu. Bersemangat betul anak-anak ya.

Di awal pagi hari yang dijanjikan, Eyda memandu menuju ke pulau. Kami bersarapan dahulu dengan semua yang turut sama dalam aktiviti mendaki kali ini.

Selesai saja bersarapan, kami menuju ke destinasi yang ditujui. Setelah mendengar segala penerangan kami memulakan pendakian ke Bukit Kukus.

Semangat ya semua

Memandangkan Izzat dan Kimie merupakan kali pertama mendaki, makanya Eyda perlu lebihkan perhatian terhadap mereka.

Setelah memasuki hampir 1/4 perjalanan Izzat kelihatan terlalu penat. Memang kami terpaksa berehat bersamanya. Manakala Kimie dan Amar bersama beberapa rakan pejabat terlebih dahulu mendaki.

Memandangkan Eyda mengikut Izzat mendaki. Eyda perlu memastikan Izzat mampu atau tidak untuk meneruskan pendakian. Alhamdulillah semangat Izzat tinggi untuk meneruskan pendakian sehingga ke puncak Bukit Kukus.

Satu semangat yang bagus tidak cepat mengalah walaupun terpaksa berhenti berkali-kali. Walaupun Eyda pada mulanya agak risau dengan keadaannya ketika mendaki tu.


BUKIT JAMBUL, PULAU PINANG

Setelah puas berehat di puncak Bukit Kukus, kami turun dari Bukit Kukus menuju ke Bukit Jambul. Sebenarnya bukit ini berada bersebelahan sahaja. 

Jadi jika anda mampu, anda boleh mendaki kedua-duanya. Jika anda tidak mampu, memadai mendaki Bukit Jambul sahaja. Ini kerana Bukit Kukus sedikit mencabar berbanding dengan Bukit Jambul.

Semasa kami turun dari Bukit Kukus nak menghala ke Bukit Jambul menggunakan jalan singkat, kami bertembung dengan beberapa ekor anjing yang menjaga kebun buah di kawasan tersebut.

Dalam berkira-kira nak berpatah balik atau meneruskan perjalanan, akhirnya kami diberikan kekuatan untuk meneruskan sambil masing-masing membaca ayat Al-Quran yang sepatutnya.

Akhirnya kami sampai di puncak Bukit Jambul. Di situ kami dapat melihat pemandangan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim.

Jangan tak tahu masa kami mendaki Bukit Jambul, kami terserempak dengan seorang pakcik cina yang menuruni Bulit Jambul, dan semasa kami hendak menuruni Bukit Jambul kami terserempak dua kali pakcik yang sama.

Hebat betul pakcik cina tu, kami yang muda ni pun belum mampu menandingi kehebatan pakcik cina tu. Naik dan turun pun siap ada berhenti lagi terutamanya ketika mendaki laa.

Tamat saja hiking kami hari tersebut sekitar 1.15 petang, kami terus ke sesi makan. Apa lagi, mengisi perut setelah banyak kalori terbakar kan.

Apapun ianya satu pengalaman yang seronok bagi Eyda untuk disimpan sebagai memori.




berjalan

Pencapaian Aktiviti Eyda di Tahun 2017

1/03/2018 09:41:00 AM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Alhamdulillah, ini adalah antara cabaran dalam merealisasikan impian Eyda di tahun 2017 telah pun tercapai.

Eyda sebenarnya mula terjebak dengan aktiviti larian nih selepas Eyda sertai sukan dwitahunan pejabat Eyda pada pertengahan tahun 2016. Masa tu Eyda tertarik untuk memiliki medal yang cantik-cantik direka oleh pihak penganjur dalam acara larian yang dianjurkan.

Pada penghujung tahun tersebut Eyda dapat mendaftar 2 larian. Alhamdulillah selepas tamatnya larian ini, semangat Eyda untuk terus menyertai aktiviti makin bertambah.

Semangat Eyda makin bertambah bila mana Farrah MF pernah postkan gambar medal milik adiknya di dalam media sosial. Apa lagi, makin bersemangat Eyda untuk berlari bagi memenuhi keinginan Eyda memiliki medal dengan jumlah yang banyak.

Alhamdulillah hasrat Eyda tercapai bila mana hampir setiap bulan pastinya Eyda mendaftar untuk sertai pelbagai aktiviti larian mahupun berjalan.




Eyda akui tujuan utama Eyda sertai aktiviti sebegini ialah mengejar medal yang disediakan. Tapi lama kelamaan Eyda lebih mengejar untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Dari masa ke semasa Eyda memperbaiki pace (kelajuan) yang Eyda buat bagi setiap larian yang Eyda daftarkan.

Tapi adakalanya pace Eyda tidak mencapai seperti yang Eyda harapkan, bila mana Eyda berlari bersama anak-anak. Ketika itu memang Eyda terpaksa mengikut rentak larian anak-anak yang adakalanya tidak mampu berlari seperti Eyda.


Medal 2017

Inilah hasil pengumpulan medal Eyda sepanjang tahun 2017. Ada 1-2 larian yang tidak ada disediakan medal, tapi ianya Eyda anggap sebagai latihan untuk Eyda bagi memastikan stamina diri terjaga.

Jangan tak tahu, bila kita tidak melakukan sebarang aktiviti sihat sebegini stamina kita akan turun dan tidak mustahil kita akan cepat pancit untuk menamatkan larian.

Cuba pastikan kita dapat melakukan aktiviti ini secara konsisten. Bukan saja medal yang dapat kita kejar, malah kita dapat menjaga kesihatan diri sendiri agar lebih sihat.


PENCAPAIAN AKTIVITI DI TAHUN 2017

MEDAL 2017

BM Tok Kun Hill (Walk/Run) Challenge 2017 - 6km
Chocolate Run 2017 Alor Setar - 6km
Alor Setar Half Marathon 2017 - 6km
Malaysia Breakfast Day 2017 Pulau Pinang - 3km
Zumba, Walk & Ride 2017 - 5km
I ðŸ’—Penang Seberang Perai 2017 - 6km
Perlis Marathon 2017 - 5km
Run For Peace 2017 Alor Setar - 7km
Smart Tunnel Run 2017 - 12km
I Love George Town Run 2017 - 8.8km
The Colourful Run 2017 - 5.6km
SP Half Marathon 2017 - 5km
UniKL MSI Auto Run 2017 - 5km
Ride In Pink, Walk In Pink 2017 - 4km
Provence Wellesley Run 2017 - 7km
Posibble Run 2017 - 5km
Penang Bridge International Marathon 2017 - 10km
OBS Run 2017 - 7km


TANPA MEDAL 2017

Antidrugs Community Fun Run Zon Utara 2017 - 5km
Penang Starwalk 2017 - 7km


HIKING 2017

Bukit Teresek, Taman Negara, Pahang - 334 meter
Bukit Kukus, Pulau Pinang - 426 meter
Bukit Jambul, Pulau Pinang - 293 meter


Aktiviti Eyda pada tahun 2017 bukan hanya tertumpu menyertai larian dan berjalan sahaja. Malah Eyda dah mula berjinak-jinak sertai aktiviti hiking bersama rakan-rakan pejabat.

Aktiviti hiking antara salah satu aktiviti yang ingin Eyda lakukan. Apapun hiking ini memerlukan stamina yang tinggi berbanding berlari. Jika anda mampu berlari dengan baik, in shaa Allah anda akan mampu hiking dengan baik juga.

Aktiviti berlari juga mampu mengurangkan rasa sakit pada kaki korang ketika hiking. Jadi kena rajin buat aktiviti berjalan atau berlari sebelum melakukan aktiviti hiking.



berjalan

BM Tok' Kun Hill Challenge 2017

4/18/2017 09:58:00 AM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Hari ni nak throwback mengenai larian Eyda pada tahun 2017 nih. Eyda mulakan cerita larian pertama pada tahun ini ya.

Eyda bermula aktiviti larian tahun 2017 ni pada bulan Februari. Padahal ada banyak larian di bulan Januari, puncanya Eyda masih tak tahu tempat nak rujuk untuk daftar dan sertai semua larian itu. Makanya agak terlambat untuk Eyda daftar larian pada tahun ini.

Tapi bila dah tau tempat rujukan segala bagai untuk cari acara larian yang akan diadakan. Makin rajin tangan nih mendaftar.

Hasilnya sehingga kini dah mencecah 8 larian yang didaftarkan. Dah 6 koleksi medal tergantung di rumah. Tu pun masih ada lagi beberapa larian yang belum didaftarkan.

Permulaan aktiviti Eyda pada tahun ini, lebih kepada hiking. Eyda nih mana la pernah mendaki, tapi Eyda terima ianya sebagai cabaran buat diri Eyda.



Alhamdulillah Eyda berjaya menamatkan larian / jalan atau lebih kepada hiking nih dengan baik walaupun selepas itu kaki Eyda sakit sepanjang hari.



Acara ini menampilkan kelainan sedikit kerana setiap peserta akan menerima medal masing-masing di puncak sebelum turun mendapatkan sijil penyertaan di kaki bukit.



Bila lakukan aktiviti ini lebih kepada seorang memang cabarannya agak kuat dalam menamatkan acara. Tapi mental memang kena kuat dalam meneruskan acara sehingga ke garisan penamat. Yelah, hiking memang memerlukan stamina dan kekuatan fizikal yang lebih berbanding larian dan berjalan.


Bagi Eyda dengan enjoy dengan pemandangan yang ada, ianya adalah penguat semangat untuk sampai ke atas dan turun dengan baik.Nikmatilah pemandangan yang ada, sempat juga swafoto di papan tanda 1 km terakhir.

 
Tapi Eyda nasihatkan kepada yang baru memulakan aktiviti sebegini agar lakukan aktiviti ini bersama rakan, sebabnya korang akan lebih bersemangat untuk meneruskan acara ini sehingga tamat. 


Bagi Eyda, bila dapat pegang medal dan sijil nih merupakan terapi minda untuk sertai lebih banyak aktiviti sebegini. Seronok bila dapat tengok medal bergantungan di dinding bilik.

Untuk pertama kalinya, Eyda gunakan aplikasi Runkeeper untuk menyimpan rekod data segala hiking, larian atau berjalan. Ini mudah untuk Eyda memantau prestasi Eyda disamping mengetahui berapa banyak kalori yang dapat dibakar untuk sesuatu aktiviti yang dijalankan.

Inilah rekod masa yang Eyda capai untuk hiking pertama

Sekarang nih, kaki mula gigil nak hiking. Harapnya dapat hiking dengan kawan-kawan.


Blog yang Diikuti