Pembayaran Secara Elektronik di Semua Plaza Tol PLUS

4/17/2017 04:20:00 PM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Kepada pemandu yang sering memandu menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) perlulah mempunyai kad Touch N Go, PLUSMiles atau SmartTag dengan segera.


Ini kerana mulai 26 April ini, semua plaza tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan beroperasi pembayaran secara elektronik 100%. Maknanya tiada lagi plaza tol yang menggunakan pembayaran tunai seperti sebelumnya di plaza Tol Juru sehingga ke Skudai yang masih menggunakan pembayaran secara tunai.



PELAKSANAAN TRANSAKSI TOL SECARA ELEKTRONIK SEPENUHNYA DI LEBUH RAYA PLUS MULAI 26 APRIL:

PLUS NASIHAT DAPATKAN KAD ELEKTRONIK SECEPAT MUNGKIN

Bermula 26 April yang akan datang, semua transaksi tol di semua lebuh raya kendalian PLUS akan dikendalikan secara 100 peratus elektronik. Bermula pada tarikh tersebut, tiada lagi transaksi tol secara tunai akan dikendalikan dan orang ramai perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go ataupun SmartTAG.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, "Pelaksanaan fasa terakhir inisiatif tersebut pada 26 April yang akan datang melibatkan 71 buah lagi plaza tol di antara Juru hingga Skudai. Dengan pelaksanaan ini, semua plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS akan beroperasi secara elektronik sepenuhnya. Sebelum ini, inisiatif yang sama telah dilaksanakan secara berperingkat di beberapa laluan lebuh raya sejak tahun 2008."

Berdasarkan rekod PLUS, kira-kira 94 peratus pengguna yang menggunakan laluan Lebuhraya Utara-Selatan di antara Juru dan Skudai telahpun menggunakan sistem pembayaran tol secara elektronik pada ketika ini.

"Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang masih belum berbuat demikian supaya mendapatkan kad PLUSMiles atau kad Touch 'n Go di mana-mana Pusat Khidmat Pelanggan PLUS di sepanjang lebuh raya sebelum 26 April ini," kata Azman.

Menurut Azman, pembayaran tol menggunakan sistem elektronik adalah jauh lebih pantas dan lebih selesa berbanding pembayaran secara tunai.

"Lorong SmartTAG mampu mengendalikan 1,000 transaksi dalam tempoh satu jam manakala Lorong Touch 'n Go pula boleh mengendalikan 600 transaksi dalam tempoh yang sama. Lorong Tunai (Keluar) pula hanya mampu mengendalikan 180 transaksi sahaja dalam masa satu jam," jelas beliau.

Tambah Azman, "Pada masa yang sama, kami juga secara agresif dan mengambil pelbagai langkah untuk membendung dan mengelak kejadian gangguan terhadap sistem elektronik sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini."

Sementara itu, pengguna lebuh raya PLUS rata-rata menyokong pelaksanaan inisiatif ini.

Mohd Akhib Mohd Hashim dari Alor Setar, Kedah menyifatkan langkah ini dapat melancarkan lagi urusan pembayaran tol di plaza-plaza tol.

"Sebagai salah seorang pengguna sistem elektronik, saya tidak perlu lagi beratur panjang ketika membayar tol. Sistem elektronik menjimatkan masa perjalanan saya. Saya juga berharap PLUS membuka lebih banyak lorong SmartTAG di plaza-plaza tol," katanya.

Isma Suhaila Ismail dari Ayer Keroh, Melaka pula menganggap pelaksanaan sistem elektronik sepenuhnya dapat mengatasi masalah kesesakan di Plaza Tol Ayer Keroh pada hujung minggu dan musim cuti.

"Pelaksanaan sistem elektronik itu juga mampu mengatasi kesesakan yang sering berlaku di Ayer Keroh, iaitu pintu masuk utama ke Melaka dari lebuh raya," kata beliau.



You Might Also Like

2 comments

  1. harap-harap sistem dia pun makin ok lah

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul, jangan sampai menyusahkan sudahlah ya..

      Delete

Sudi-sudikanlah tinggalkan sebarang komen dan jejak anda di sini.. Terima kasih kerana sudi singgah ke sini..

Blog yang Diikuti